Archive

Archive for July, 2009

PM : 100 unit percuma AS1M untuk 50,000 pelajar IPTA

DatoSriNajibTunRazakDatuk Seri Najib Razak pagi ini mengumumkan pemberian percuma 100 unit Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) kepada 50,000 pelajar tahun pertama Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sesi 2009.  Perdana Menteri berkata, dana pertimbangan khas bernilai RM5 juta itu khusus kepada pelajar yang mendaftar pada sesi pertengahan tahun ini.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan AS1M yang bersaiz dana 10 bilion unit. AS1M akan diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan harga tawaran RM1 seunit.

Categories: Isu Semasa, Mahasiswa

Badan siswa UM ‘bersepai’ jatuh bangunan flat

3764397754_35db1ce7b2_mSeorang mahasiswa Universiti Malaya (UM) dilaporkan jatuh dari bangunan flat rumah sewa dipercayai awal pagi semalam. Mayat siswa tersebut yang dikenali sebagai Tan dipercayai hancur dan bersepai kerana jatuh dari tingkat 16 flat perumahan Vista, dekat sini.

Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya, Mohd Fadzil Jamal memaklumkan mendapat makluman berita tragis tersebut petang semalam dari beberapa kenalan berbangsa Cina. Beliau bersama beberapa yang lain termasuk Yang di Pertua, Mohd Ridzuan Mohammed melawat tempat kejadian sejurus selepas mendapat berita tersebut.

“Saya mendapat berita dari beberapa kenalan (Cina) yang tinggal disana (kawasan perumahan Vista), dan NC (Naib Canselor) telah dimaklumkan tentang perkara ini,” ujar beliau. “Beliau (Naib Canselor) juga terkejut dan mengaku tidak mendapat makluman tentang perkara ini,” tambah beliau.3764375098_df8bba9c09_m

Beliau juga memaklumkan kawasan mayat dijumpai telah dibersihkan oleh polis sejak jam 11 pagi semalam. Dalam pada itu, ketua pengurusan flat berkenaan yang dikenali sebagai Encik Zul (foto: berkopiah) mendakwa tidak mendengar bunyi jeritan atau pergaduhan pada waktu sebelum menjumpai mayat tersebut.

Didakwa terdapat beg berisi barang peribadi siswa tersebut serta kaca mata dalam keadaan tersusun baik di beranda tingkat 16 bangunan berkenaan. Beg dan barangan peribadi tersebut dibawa polis untuk siasatan lanjut. Beberapa orang awam disekitar tempat tempat kejadian mengaku tidak mengenali siswa berkenaan tetapi menganggap ianya kes bunuh diri.

“Beg dalam keadaan elok, malah spek (kaca mata) juga tersusun baik seperti bersedia untuk terjun ke bawah,”respon seorang yang mahu dikenali sebagai Seng. Tan yang dipercayai berasal dari Muar, Johor merupakan mahasiswa semester ke tujuh Fakulti Sains Universiti Malaya. Maklumat universiti walaubagaimana pun menyatakan siswa tersebut masih belum mendaftar untuk semester baru.

Polis juga menjumpai tiket Genting Highland di dalam beg tersebut disamping kad matrik dan dokumen-dokumen pengenalan berbentuk resume’. Beberapa individu membuat jangkaan siswa tersebut mencari pekerjaan di kawasan tanah tinggi tersebut. Siswa tersebut juga dipercayai menginap sebelum ini di kolej kediaman ke empat universiti berkenaan namun didakwa dibuang kolej.

Pihak kolej kediaman tersebut cuba dihubungi namun mereka memaklumkan tidak mengenali mahasiswa berkenaan. Fadzil yang juga Exco Kebajikan Luar Kampus majlis perwakilan mahasiswa berkenaan dimaklumkan akan melawat ibu bapa siswa berkenaan jam 9 pagi ini di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), tempat mayat dibedah siasat.

Pihak polis masih membuat siasatan mengenai kejadian ini. Fadzil juga cuba menghubungi pegawai yang bertugas untuk mendapat maklumat lanjut, namun pegawai tersebut keluar bagi tugasan luar. Beliau memaklumkan akan mendapatkan maklumat lanjut daripada pegawai berkenaan awal pagi ini.-Mahasiswakini.com

Categories: Mahasiswa

Kem di SRA Kg. Soeharto..Gempak!!!

Assalamualaikum w.b.t.,

CIMG3201Sekali lagi saya menyertai Program R.I.N.D.U ( Redha Illahi Neracha Neracha Dirimu ) anjuran Asa Explore. Kali ini, kem diadakan nun jauh di Hulu Selangor, Sekolah Rendah Agama Kampung Soeharto. Perjalanan ke sana memakan masa hampir 2 jam 30 minit..Nak sampai kat sana penat sangat..Tapi, kerana tanggungjawab dan tugasa untuk memberikan tunjuk ajar kepada adik-adik Tahun 6 bagi menghadapi UPSR dan PSRA, kami gagahkan jua ke sana.

Sampai di sana, adik-adik sudah siap sedia menunggu ketibaan kami..Penat dalam perjalanan tidak terkira tetapi bila melihat wajah adik-adik yang tidak sabar-sabar menjalani kem ini, kami tetap mulakan kem ini sebaik tiba di sana pada pukul 5.30 petang.. Moderator pada kali ini ialah Brother Fahmi..Saya hanya selaku Fasilitator biase sahaja..hehe

Kem ini diketuai oleh Brther Sham dan fasilitator yang terlibat seramai 6 orang iaitu saya (Brother Ridzuan), Brother Fitri, Brother Adi, Kak Syukriah, Kak Hanim dan Kak Iffah..Semua muka-muka lama di dalam Konsultant ini. Program kali ini paling pendek saya rasakan keraN a hanya 2 hari satu malam sahaja program ini diadakan..

Tetapi..cukup gempak dengan adik-adik yang amat close dengan abg-abg & kak-kak FC. 2 hari dirasakan tidak cukup untuk bersama-sama dengan adik-adik semua..Tetap, memang enjoy la bersama dengan adk-adik semua. Buat adik-adik semua, abg mendoakan adik2 semua berjaya di dalam UPSR & PSRA pada bulan 9 ini..Doa abg bersama dengan adik2 semua. Jumpa lagi pada masa akan datang..InsyaAllah…

CIMG3179CIMG3185

CIMG3200CIMG3202

CIMG3206CIMG3220

CIMG3226CIMG3247

CIMG3248CIMG3293

Categories: Personal

Saksikan Bicara Siswa mlm ini..-Mansuh PPSMI

n101384018631_3174

Categories: Mahasiswa

Syazni Munir dibebaskan

3364039399_9b683d2bd5Presiden Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) Universiti Malaya, Shazni Munir Mohd Ithnin ditahan Sabtu lalu bagi membantu siasatan berhubung kes menconteng dan percubaan membakar di dewan Akademi Pengajian Islam (API) universiti tersebut hujung bulan lalu.

Menurut peguamnya, Mohd Radzlan Jalaludin berkata, Shazni dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk dilanjutkan tahanan reman terhadapnya. Bagaimanapun, katanya, mahkamah menolak permohonan tahanan reman itu kerana Shazni telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada siasatan polis.

Menurutnya, mahkamah memutuskan siasatan telah lengkap dan Shazni pula mempunyai kuliah untuk dihadiri hari ini.  Mohd Radzlan berkata anak guamnya itu dibebaskan kira-kira jam 3.30 petang di ibu pejabat polis Brickfields dengan jaminan polis.  Pembebasan beliau disambut oleh ibu bapanya dan juga kira-kira 20 pelajar Universiti Malaya.

Shazni kelihatan “ceria dan tidak nampak tekanan” sewaktu dibebaskan dan akan meneruskan pengajian beliau esok, tambah peguam itu. Menurutnya lagi, polis berkemungkinan mendakwanya di mahkamah pemimpin pelajar tersebut awal minggu depan. Shazni antara tiga pelajar API yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan kejadian pada awal pagi 24 Jun lalu yang telah dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Categories: Mahasiswa

Ahlan Wasahlan Syaaban…Bulan Mulia

Bulan Syaaban adalah bulan mulia iaitu bulan yang terletak di antara bulan Rejab padanya Nabi Muhammad s.a.w. melakukan Isra’ dan Mikraj dan bulan Ramadhan dimana padanya seluruh umat Islam diwajibkan mengerjakan puasa Ramadhan salah satu dari rukun Islam yang mulia. Ketika bulan tersebut di hubungkait yang rapat kerana sesungguhnya orang yang mensucikan badannya pada bulan Rejab maka ia akan mensucikan hatinya pada bulan Syaaban dan orang yang mensucikan hatinya pada bulan Syaaban akan mensucikan rohnya pada bulan Ramadhan.

Sesungguhnya bulan Rejab untuk memohon keampunan dari segala dosa dan bulan Syaaban pula untuk memperbaiki hati dari segala cacat dan bulan Ramadhan pula untuk memberi penerangan hati sedang malam Lailatul Qadar adalah mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

Peristiwa yang paling bersejarah yang berlaku pada bulan Syaaban ialah peristiwa pertukaran kiblat. Allah swt telah mengarahkan Rasul-Nya memindahkan kiblat sembahyang daripada masjid al-Aqsa di Bait al-Maqdis ke Kaabah di Mekah. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada seorang sahabat al-Bara’ bin Azib maksudnya: ”Selepas Rasulullah sampai ke Madinah al-Munawarah, baginda dan para sahabat bersembahyang berkiblatkan Baitulmakdis al-selama lebih kurang enam belas atau tujuh belas bulan. Selepas tempoh tersebut barulah diturunkan wahyu menyuruh baginda berpaling ke Mekah. Peristiwa pertukaran kiblat berlaku di dalam masjid Qiblatain. Suruhan pertukaran kiblat berlaku ketika Rasulullah sedang bersembahyang Asar.

Pertukaran kiblat menjadi isu besar di Madinah. Orang Yahudi mengambil kesempatan menabur fitnah memperlekehkan dakwah Rasulullah. Lalu diturunkan ayat 142 Surah al-Baqarah. Maksudnya: Akan berkata orang-orang yang kurang akalnya: ”Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblat mereka (Baitulmaqdis) yang dahulunya mereka telah berkiblat kepadanya. Katakanlah: ”Kepunyaan Allah timur dan barat, dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.

Peristiwa ini berlaku pada tahun kedua Hijrah pada bulan Syaaban. Kebenaran daripada Allah swt untuk kembali berkiblatkan Kaabah adalah contoh doa Rasulullah yang dikabulkan oleh Allah swt. Ini kerana Rasulullah sudah lama mengangkat tangannya berdoa dan memandang ke langit meminta pertukaran kiblat ke Kaabah. Permintaan Rasulullah tersebut telah diperkenankan oleh Allah swt pada bulan Syaaban.

Perkara itu telah dirakamkan oleh Allah s.w.t. di dalam kitab suci Al-Quran Al-Karim dengan firmannya:

Yang bermaksud: Kerapkali kami melihat engkau (wahai Muhammad) berulang-ulaang menadah ke langit, maka kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai, oleh itu palingkanlah muka kearah Al-Masjidil Haram (tempat letaknya kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke kaabah) itu adalah perintah yang benar dari tuhan mereka, dan Allah s.w.t. tidak sekali-kali lali akan apa yang mereka lakukan.


Oleh sebab bulan Syaaban adalah diantara bulan-bulan yang mulia dan mempunyai keistimewaan yang tertentu, maka wajar sekali jangan kita biarkannya berlalu begitu sahaja tanpa mengerjakan amal-amal soleh yang telah dilakukan oleh nabi Muhammad s.a.w..

Diantara amalan-amalan yang sewajarnya dilakukan oleh kaum muslimin didalam sepanjang bulan Syaaban adalah seperti berikut:

Berpuasa Sabda Rasulullah s.a.w. Yang bermaksud: Dari Aishah r.a., katanya :

” ….. Aku tidak melihat Rasulullah s.a.w. berpuasa sebulan genap, sesuatu bulan melainkan bulan Ramadhan, dan aku tidak melihatnya mengerjakan puasa pada bulan yang lain lebih banyak daripada yang dikerjakan dalam bulan Syaaban “.

Banyak melakukan amalan takwa dan taat.

Menahan dan menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan maksiat dan dosa. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: ” Barangsiapa mengagungkan bulan Syaaban dan bertakwa kepada Allah s.w.t. dan melakukan ketaatan kepadanya dan menahan diri berbuat maksiat, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya dan memberi keamanan kepadanya dari kemalangan-kemalangan mahupun penyakit-penyakit yang terjadi pada tahun itu seluruhnya “.

Menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan ibadat-ibadat seperti membaca Al-Quran, bertaubat, beristiqafar, berzikir dan sebagainya. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: ” Barangsiapa menghidupkan malam daripada dua hari raya dan malam pertengahan daripada bulan Sya’ban, hatinya tidak akan mati, manakala hati-hati orang lain mati “.

Memperbanyakkan sembahyang-sembahyang sunat seperti sembahyang sunat hajat, sunat tahajud, sunat taubat, sunat tasbih dan lain-lain lagi.

Bersedekah bagi menolong meringankan penderitaan fakir miskin atau anak-anak yatim. Melakukan amal-amal kebajikan serta memohon keampunan dua ibu-bapa. Memohon restu kehadrat Allah s.w.t. bagi keselamatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Memohon restu kehadrat Allah s.w.t. semoga terhindar dari segala bala bencana, mala petaka dan huru-hara bagi diri sendiri, ahli keluarga, kaum muslimin dan muslimat, bangsa dan negara. Berusaha untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. disetiap bidang amal kebajikan yang kita laksanakan.


Beramallah menurut keimanan masing-masing kalau tidak dapat dilaksanakan semua janganlah ditinggalkan semuanya, lebihan umur kita yang masih tinggal sedikit lagi, hampir sampai ke penghujungnya. Rebutlah amal-amal sebanyak-banyak yang boleh, bertaubatlah kepada Allah dosa-dosa yang banyak dengan segala kesungguhan untuk bekal kita di akhirat, kerana yang akan pergi tidak pulang lagi.


“ Sesiapa yang menghendaki(dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikkan dunia itu (sekadar yang kami tentukan) dan ia tidak akan memperolehi sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.” (Surah as-Syura: 30).

3594692033_2c019ba9a5

Categories: Tazkirah

ISRAK MIKRAJ UJI KEIMANAN

Masjid Al-Aqsa

ALLAH s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Maha suci Allah yang memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah al-Isra’: 1)

Tanggal 27 Rejab, tahun kesebelas selepas daripada kenabian Rasulullah s.a.w dan dua tahun sebelum berlakunya hijrah Nabi s.a.w ke Madinah Munawwarah, telah berlaku peristiwa Israk dan Mikraj, di mana ia merupakan satu bukti tentang kebesaran, kekuasaan dan kehebatan Allah s.w.t dalam ‘memperjalankan’ diri Rasulullah s.a.w dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa , Baitumaqdis, dan seterusnya Nabi diangkat ke langit untuk bertemu Allah s.w.t dalam masa yang begitu singkat.

Peristiwa ini telah menapis dan menyaring keimanan serta keyakinan umat manusia terhadap kekuasaan Allah s.w.t dan kebenaran risalah Nabi Muhammad s.a.w. Orang kafir sendiri menjadikan peristiwa Israk dan Mikraj ini sebagai suatu peluang terbaik untuk melakukan operasi pembohongan yang menambahkan lagi penolakan mereka terhadap dakwah Nabi. Manakala keadaan umat Islam sendiri terbahagi kepada beberapa peringkat di mana ada yang terus membenarkan Nabi seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq, dan ada pula yang mahu penjelasan terperinci dengan menguji Nabi melalui beberapa pertanyaan seperti bilangan pintu dan tiang dalam Masjidil Aqsa bagi membuktikan kebenaran kepada cerita tersebut dan ada pula yang bersikap menolak terus cerita Nabi dan kembali murtad daripada Islam.

Ini berlaku semata-mata kerana peristiwa ini begitu menongkah arus akal manusia. Inilah gambaran yang akan berlaku apabila umat keliru dalam meletakkan sumber ambilan dalam membuat satu-satu kesimpulan.

Umat Islam hari ini harus waspada dengan ledakan arus globalisasi untuk meletakkan akal mengatasi sumber al-Quran dan Sunnah. Islam tidak sama sekali menolak peranan yang dilakukan oleh akal tetapi harus ditundukkan dengan bimbingan yang bersumberkan wahyu dan sunnah.

Perkara seperti inilah juga yang terpaksa dihadapi oleh kita pada hari ini apabila usaha dalam melaksanakan semula semua sistem Islam, maka di sana timbulnya beberapa golongan iaitu golongan pertama yang seratus peratus yakin dengan kemampuan Islam serta berusaha dengan kemampuan yang ada untuk melaksanakannya. Golongan yang kedua terdiri daripada mereka yang tahu tentang kemampuan sistem Islam tetapi sentiasa mencari jalan agar ia tidak dapat dilaksanakan dengan mencari pelbagai alasan dan atas alasan kebebasan berfikir, cuba mempengaruhi orang lain agar sama-sama ragu seperti mereka juga. Golongan ketiga iaitu golongan pelampau terdiri daripada mereka yang menolak terus sistem Islam.

Jika umat dahulu berasa pelik apabila Nabi menceritakan tentang Israk dan Mikraj, maka umat zaman kini merasa pelik apabila disebut tentang sistem hidup Islam yang menyeluruh sedangkan sistem ini pernah dilaksanakan di negara ini pada masa pemerintahan Kesultanan Melayu sebelum datangnya penjajah.

Kita harus mempelajari daripada peristiwa ini bahawa iman itulah merupakan pengukuran yang sebenarnya di dalam Islam. Dan bagaimana kita mempraktikkan ajaran Baginda s.a.w selepas beriman dengannya. Sesungguhnya, imanlah yang membezakan Saidina Abu Bakar r.a dan menempatkan beliau pada suatu kedudukan yang tidak dapat ditandingi oleh sahabat Rasulullah s.a.w yang lain. Beliau lebih dikenali sebagai As-Siddiq yang bererti “yang membenarkan” lebih daripada namanya sendiri kerana beliau terus percaya dan beriman dengan khabar daripada Baginda Rasulullah s.a.w ketika diceritakan peristiwa Israk dan Mikraj.

Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku selepas Nabi diuji dengan kematian dua orang yang paling rapat dan banyak membantu baginda dalam usaha menyebarkan dakwah Islam iaitu isteri tercinta Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib.

Tekanan yang dihadapi selepas kematian kedua-dua insan yang disayangi semakin bertambah di mana jika kita perkirakan dari segi logik akal, maka Islam pasti akan terkubur. Namun kuasa Allah s.w.t melebihi segala-galanya di mana selepas penolakan dakwah oleh penduduk Taif, Nabi telah ‘dihiburkan’ dengan Israk dan Mikraj dan seterusnya diizinkan untuk berhijrah ke Madinah sehingga membina Daulah Islamiah yang telah mengubah kedudukan Islam daripada dihina kepada dipandang mulia, daripada lemah kepada memerintah.

Dalam peristiwa di Taif di mana penduduknya bukan sahaja menolak mentah-mentah dakwah Islam, malah telah melontar batu ke arah Nabi sehingga berlumuran darah. Kita dapat melihat Nabi telah diberi peluang untuk menang mudah iaitu tawaran daripada malaikat penjaga bukit untuk menjadikan bukit di bawah jagaannya sebagai emas tetapi ditolak oleh Nabi sebagaimana Nabi menolak tawaran malaikat penjaga bukit yang ingin menghancurkan penduduk Taif yang begitu degil dengan meruntuhkan bukit ke atas penduduk Taif.

Penolakan Nabi ini memberi banyak pengajaran kepada kita umat Islam di mana kekayaan bukanlah satu-satunya faktor dalam menegakkan Islam. Jika kita perhatikan pada hari ini kebanyakan negara umat Islam dianugerahkan dengan hasil mahsul yang melimpah ruah tetapi ia tidak membantu pelaksanaan sistem Islam dan tidak pula membantu untuk umat Islam bersatu dalam menghentikan penderitaan umat Islam yang sedang ditindas.

Kekayaan hanya dibolot oleh segolongan tertentu sedangkan sebilangan yang lain terus menderita. Islam bukan mampu bangkit dengan kekuatan ekonomi semata-mata tetapi Islam bangkit melalui kekuatan akidah yang ditanam dalam diri. Islam juga bukan tersebar atas paksaan tetapi ia mampu menawan hati manusia dengan keadilan dan keindahan seluruh sistemnya sehingga tawaran kesenangan dunia dengan sendiri akan ditolak apabila semangat Islam telah menguasai diri seseorang.

Kekuatan akidah inilah yang menjadi musuh kepada mereka yang melawan Islam daripada golongan ‘kuffar’ dan munafik. Kita perlu ingat bahawa tiada istilah menang mudah dalam memperjuangkan Islam kerana ia menuntut kepada kesabaran dan istiqamah sebelum datangnya janji kemenangan daripada Allah s.w.t.

Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku di dua tempat utama di bumi sebelum Nabi dinaikkan ke sidratul muntaha iaitu bumi Mekah dan Palestin, malah melalui ayat 1 surah Isra’ menjelaskan bagaimana Allah s.w.t memberkati bumi Isra’ dan sekitarnya. Sehingga kini bumi Isra’ iaitu Baitulmaqdis, Palestin terus menjadi rebutan tiga agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi di mana keganasan Yahudi dalam membunuh dan merampas tanah milik umat Islam terus berlangsung tanpa perikemanusiaan.

Kuasa Kristian yang dibeli oleh Yahudi terutama Amerika Syarikat turut menggalakkan pembunuhan umat Islam, malah kuasa Kristian atas nama memerangi keganasan terus menjadikan umat Islam sebagai sasaran kepada senjata milik mereka. Dua kuasa besar masa kini iaitu kuasa Kristian dan Yahudi seumpama dua kuasa besar Rom dan Parsi yang pernah dihadapi oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat pada zaman itu di mana akhirnya turut tunduk dan patuh kepada pemerintahan Islam. Kemenangan Islam dalam menakluki dua kuasa besar tersebut telah diperoleh sama ada melalui perang ataupun perdamaian.

Sebagaimana kuasa Rom dan Parsi memandang rendah kepada Daulah Islamiah yang dibina oleh Nabi di Madinah pada awalnya tetapi akhirnya mereka sendiri merasa gerun melihat kehebatan sebuah pemerintahan Islam yang diasaskan atas akidah dengan membina kemajuan tamadun kebendaan tanpa mengabaikan pembangunan insan.

Begitulah terjadi pada hari ini di mana selepas penjajahan dan negara-negara umat Islam diberikan kemerdekaan maka kuasa penjajah terutama Kristian begitu mengambil berat tentang kepimpinan yang sedang dan akan memerintah di negara jajahan mereka sebelum ini agar pemimpin yang dilantik mestilah meneruskan dasar penjajah walau dengan apa cara sekali pun termasuk cara kekerasan dengan menekan rakyat agar tidak kembali kepada pemerintahan Islam.

Dunia kini secara keseluruhan mula kembali semula kepada Islam terutama selepas serangan terhadap dua bangunan di Amerika pada 11 September 2001. Kuasa Yahudi dan Kristian berasa gerun dengan perubahan yang mendadak lalu mengambil tindakan lebih ganas dan kejam dengan menggelarkan umat Islam sebagai pengganas yang mesti dihapuskan dari muka bumi ini. Mereka menekan seluruh negara umat Islam seperti Palestin, Afghanistan, Kashmir (India), Iraq, Indonesia dan lain-lain.

Kita ingatkan kuffar bahawa dunia Islam tidak selamanya ditimpa gerhana tetapi ia akan kembali bercahaya dengan syarat seluruh umat Islam kembali bersatu atas dasar Islam dengan menolak semangat kebangsaan yang memecahbelahkan kesatuan umat Islam sebelum ini. Islamlah nescaya kita akan beroleh kemenangan bersama kerdehaan Allah s.w.t di dunia dan akhirat.

Renungilah firman Allah s.w.t dalam ayat 286 penutup surah al-Baqarah yang merupakan ayat yang diterima oleh Nabi semasa bertemu Allah s.w.t pada malam Israk Mikraj selain daripada kewajipan solat lima waktu sehari semalam, yang maksudnya:

“Allah s.w.t tidak membebankan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat ganjaran kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami berdosa jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan ke atas kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan ke atas kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami, oleh itu bantulah kami dalam mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kufur.”

Jika kita singkap kembali lembaran sejarah sebelum berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj ini, akan kita dapati bahawa beberapa tahun sebelum berlakunya peristiwa ini, Baginda s.a.w. dan mereka yang beriman dengan Baginda telah melalui beberapa keadaan yang menyedihkan dan kesusahan serta penderitaan. Baginda pertamanya kehilangan isteri tersayang, Sayyidatina Khadijah r.a, merupakan orang yang pertama yang beriman dengan Baginda, dan teman sejati, serta pendukung Baginda, seorang yang mengorbankan segala hartanya untuk dakwah Baginda. Kemudian, Baginda kehilangan pemeliharaan dari semua kekasaran dan tentangan penduduk Mekkah dengan kematian bapa saudara Baginda, Abu Talib. Selepas kematian bapa saudara Baginda ini, mereka yang beriman terpaksa melarikan diri ke sebuah lembah berdekatan Mekah, di mana tiada makanan atau tempat berteduh di situ.

Bahkan, Baginda begitu sedih apabila Baginda ke Taif dengan harapan agar penduduknya menerima Baginda, namun mereka bukan setakat menolak Baginda, tetapi mencederakan Baginda. Ramai daripada mereka yang beriman terpaksa berhijrah ke Habsyah dan yang kekal bersama Baginda berada di dalam keadaan lemah dan lapar. Apa yang benar-benar mendukakan Nabi ialah kaum Quraisy mengenali Nabi sebagai seorang yang sentiasa jujur, namun mereka enggan beriman dengannya.

Di dalam segala kesedihan ini, Allah s.w.t menganugerahkan Kekasih-Nya Rasulullah s.a.w dengan perjalanan Israk dan Mikraj ini demi untuk menjadi inspirasi serta sumber kekuatan bagi Baginda dengan memperlihatkan kepada Baginda apa yang tidak pernah dianugerahkan kepada seseorang pun sebelum Baginda. Baginda diperlihatkan tanda-tanda keagungan Allah s.w.t, serta jaminan bahwa Allah s.w.t akan mengurniakan kejayaan kepada Baginda ke atas segala musuh Baginda.

Sesungguhnya, peristiwa Israk Mikraj ini telah membuktikan kepada Baginda bahawa jika bumi serta semua penduduknya mendukakan dan menyempitkan Baginda, maka segala pintu langit sentiasa terbuka untuk Baginda, dan sekiranya ada makhluk yang ingin mencederakan Baginda, maka segenap penghuni langit akan membantu dan mempertahankan Baginda. Begitulah tingginya darjat Nabi bagi umat ini.

Kita harus mempelajari daripada peristiwa ini bahawa iman itulah merupakan pengukuran yang sebenarnya di dalam Islam. Dan bagaimana kita mempraktikkan ajaran Baginda selepas beriman dengannya. Sesungguhnya, imanlah yang membezakan Saidina Abu Bakar r.a dan menempatkan beliau pada suatu kedudukan yang tidak dapat ditandingi oleh sahabat Rasulullah s.a.w yang lain. Beliau lebih dikenali sebagai As-Siddiq yang bererti “yang membenarkan” lebih daripada namanya sendiri kerana beliau terus percaya dan beriman dengan khabar daripada Baginda Rasulullah s.a.w ketika diceritakan peristiwa Israk dan Mikraj.

BATU+TERGANTUNG

Categories: Tazkirah