Anggota Parlimen sepakat sokong usul kecam Israel
Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang hari ini mengetepikan agenda politik masing-masing bagi menyokong usul mengecam serangan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Ketika membahas usul tergempar mengecam pencerobohan dan serangan Israel terhadap Palestin di Dewan Rakyat,
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya kerajaan bertindak lebih tegas menangani isu itu dengan meminta Kementerian Luar memanggil Duta Amerika Syarikat (AS) untuk menyatakan bantahan keras rakyat Malaysia terhadap sokongan negara tersebut kepada tindakan Israel.
“Harapan Malaysia terhadap bakal presiden Amerika Syarikat Barack Obama ialah mengambil sikap yang adil kepada penduduk Palestin kerana jelas pendirian Obama terlalu keras menyokong Israel. “Seluruh rakyat Malaysia termasuk daripada semua parti di negara ini menunjukkan rasa tidak senang hati dengan pentadbiran yang memihak kepada penjenayah perang dan melihat kelesuan pemimpin negara Arab yang nampak tidak menunjukkan sikap keberanian untuk memperjuangkan nasib rakyat,” katanya semasa membahaskan usul mengecam serangan Rejim Zionis Israel di Gaza di Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Anwar juga mencadangkan agar Malaysia mengambil inisiatif supaya bekerjasama dengan Brunei dan Indonesia mengetuai pasukan yang menunjukkan sikap dan pendirian yang membenci keganasan dan kezaliman.
“Kita boleh berunding dengan Brunei dan Indonesia untuk menunjukkan sikap tegas dan berani menentang kezaliman rejim Israel terhadap rakyat Palestin yang dibunuh kejam,” kata Anwar, yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan aggota Parlimen Permatang Pauh.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) mencadangkan agar Malaysia mengambil tindakan
mengheret Israel ke mahkamah antarabangsa kerana mencabuli undang-undang antarabangsa.
“Ini kerana Israel telah mencabuli piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan telah menunjukkan yang ia tidak berdisiplin,” katanya.
Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) pula meyifatkan masalah di Palestin sebagai masalah sejagat yang hanya boleh diselesaikan oleh masyarakat antarabangsa.
“Dunia menjadi saksi apa yang berlaku di Palestin. Semua mesti menyokong mencari jalan penyelesaian masalah ini. Langkah pertama ialah gencatan senjata oleh kedua-dua pihak,” katanya.
Beliau juga meminta masyarakat dunia untuk menambah tekanan terhadap Israel termasuk sekatan ekonomi.
Khairy turut mencadangkan agar satu pasukan pengaman dibentuk supaya rakyat Palestin tidak diancam atau dipaksa oleh rejim Zionis Israel.
“Sistem antarabangsa kini berat sebelah, menyebelahi sesebuah pihak. Sistem politik antarabangsa yang diamalkan sekarang tidak mendengar suara masyarakat dunia.
“Kita juga perlu menyusun semula PBB dan struktur baru itu perlulah menjaga kepentingan semua, tidak kira, bangsa dan agama,” katanya.























Recent Comments