Archive
Puasa kembalikan manusia ke alam fitrah
Kita akan menghadapi bulan puasa dalam bulan Ramadhan yang mulia yang jatuh pada bulan September ini. Sesungguhnya pada bulan ini lah kita akan kembali kepada alam fitrah yang semula jadi jika kita puasa mengikut sunnah Rasulullah s.a.w.
Pada ketika kita mengamalkan puasa itulah kita akan melakukan beberapa ibadah yang menyesuaikan diri kita dengan alam kejadian kita.
Amalan puasa yang bermula dengan sahur waktu malam dan berbuka waktu Maghribnya memakan masa lebih kurang tiga belas jam.
Masa itulah yang sebenarnya diperlukan oleh tubuh untuk menghadam makanan keseluruhannya. Makanan yang masuk ke dalam perut itu akan dihadam menjadi sel, darah, otot dan lain-lain.
Inilah sepatutnya kita lakukan hari-hari tetapi dalam keadaan sebenarnya dalam tabiat kita makan sehari-hari kita makan banyak kali �sarapan, makan pukul sepuluh, makan tengah hari, makan dan minum teh petang dan makan malam � di mana belum pun sempat proses penghadaman berlaku sepenuhnya makanan dimasukkan ke dalam perut terus menerus sehingga proses penghadaman terganggu.
Ini menyebabkan makanan yang tidak sempat dihadam akan diketepikan sahaja dan membusuk di dalam perut dan usus. Gas pun terkumpul dan gas ini menyebabkan kita sakit perut, sakit kepala dan bila gas dan toksid naik ke permukaan kulit di muka maka jerawat timbul, kelumumur dan macam-macam lagi.
Maka puasa di siang hari sebenarnya kembalikan kita ke alam fitrah di mana kita telah mendisiplin diri kita makan ikut fitrah dan ini sesuai dengan sains perubatan.
Ketika berbuka, hendaknya jangan kita makan banyak cukup sekadar minum segelas air dan makan kuih sedikit atau makan sedikit kurma.
Kemudian kita tunaikan solat Magrhrib. Setelah itu minumlah sedikit demi sedikit setiap setengah jam hingga waktu jam sebelas malam barulah makan yang berat sedikit.
Kalau kita terus makan dengan banyaknya ketika berbuka ianya akan menyebabkan perut menjadi terkejut dan mengalami sakit. Bila kita hendak memulakan perjalanan dengan kenderaan kita tidak memulakan enjin dengan kuat tapi dalam keadaan perlahan-lahan sebelum melajukan kenderaan. Begitu juga dengan tubuh kita.
Begitu juga ketika kita bersahur jangan makan banyak sangat. Ketika kita puasa disiang hari tubuh kita akan menghadam makanan yang kita makan ketika bersahur.
Kalau kita makan banyak maka banyaklah kerja alat penghadaman kita maka kita akan menjadi tersangat letih kerana kekuatan tenaga akan tertumpu pada penghadaman sahaja. Sedangkan disiang hari kita perlu juga terus bekerja mencari nafkah untuk diri dan keluarga.
Solat fardu
Dan sudah tentu kita mesti menunaikan solat-solat fardu yang lima waktu. Kalau pada hari dan bulan lain dari Ramadhan kita lakukan solat tapi tidak regular maka pada bulan Ramadhan lakukanlah dengan penuh semangat tanpa ponteng.
Pada orang yang tidak solat dia tetap akan membasuh muka dan tangan sekejap-kejap untuk merasa nyaman bekerja maka waktu solat sudah tentu kita akan membasuh muka dan lain-lain kawasan tubuh kita; maka dengan sendirinya kita telah merasa nyaman, bersih dan membersihkan diri kita dari dihinggapi jutaan kuman pada kulit kita yang terdedah. Tambahkan pahala kita dengan solat-solat sunnat rawatib.
Solat tarawih
Pada malam harinya kita solat tarawih atau nama sebenarnya solatullail. Pada siang hari dengan kikta berpuasa maka perjalanan darah agak ’slow’ sedikit maka dengan kita solat terawih kelancaran perjalanan darah menjadi laju sedikit dan kembalikan kita kepada edaran darah yang normal.
Sesungguhnya solat tarawih sepatutnya dilakukan setiap hari, tarawih pada bulan Ramadan adalah sebagai latihan kepada bulan-bulan yang lain.
Mengaji al-Quran
Kita digalakkan membaca al-Quran pada setiap malam Ramadan sebagai latihan kepada membaca al-Quran setiap hari di bulan-bulan selain Ramadan.
Bila kita membaca al-Quran kita mencipta gelombang suara, secara automatik kita mencas kuasa elektrik-magnetik di dalam diri kita, mata kita bergerak, otot-otot muka bergerak, leher kita bergerak, telinga bergerak untuk mendengar bacaan kita itu, ‘MAKA JADILAH KEPALA KITA SEPERTI KOTAK SUIS ELEKTRIK’ atau seperti komputer yang diberi isiannya.
Inilah satu daripada kebaikan membaca al-Quran setiap hari, tetapi hari ini kita perhatikan amalan bacaan al-Quran tidak lagi menjadi amalan seharian umat Islam. Kalau ada pun mereka menyimpan kaset atau CD al-Quran sahaja.
Kalau di rumah kita baca dengan anggota keluarga kita dan ini akan rapatkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak. Di peringkat masyarakat membaca atau bertadarus di surau dan masjid akan merapatkan ukhuwah Islamiyah di kalangan penduduk.
Orang yang puasa dengan sendirinya mendisiplinkan dirinya dengan tidak makan dan minum di siang hari, menjauhkan perkara maksiat dan lain-lain perkara mungkar.
Dan dia bersama-sama jutaan umat Islam seluruh dunia melakukan puasa ini .Gambarkan keadaan suasana puasa, buka ,sahur dan melakukan ibadah solat tarawih dan tadarus al-Quran di seluruh dunia oleh umat Islam alangkah indahnya suasana ini.
Maka sesungguhnya dengan ibadah puasa manusia telah kembalikan dirinya ke alam fitrah.
KEAJAIBAN SAINS DI DALAM ALQURAN
Meninjau perkembangan janin insan
Orang-orang barat dewasa ini sedang bersungguh-sungguh mempertikaikan keserasian di antara agama dan sains. Boleh dikatakan tidak munasabah bagi seorang pemikir barat untuk menerima hakikat boleh ada satu titik pertemuan di antara agama dan sains. Kitab Bible yang diimani orang Kristian mempercayai kononnya pokok yang mana Nabi Adam ‘alaihissalam telah memakan buahnya ialah Pokok Ilmu. Justeru, selepas memakan buahnya, Nabi Adam ‘alaihissalam mendapat ilmu yang tidak baginda ‘alaihissalam ketahui sebelum itu. Disebabkan perkara inilah Eropah membazirkan 2 kurun bertelingkah dan berdebat samada mahu atau tidak menerima ilmu sains daripada orang-orang Islam.
Pihak Gereja memfatwakan bahawa usaha mengkaji ilmu sains adalah punca kepada dosa asal (‘original sin’) Nabi Adam ‘alaihissalam. Mereka memberikan bukti-bukti bersumberkan Kitab Injil Perjanjian Lama (‘Old Testament’) yang menceritakan bahawa dengan memakan buah dari pohon terlarang itulah Nabi Adam ‘alaihissalam telah mendapat ilmu. Lantas Allah subhanahuwata’ala murka kepadanya dan tidak mahu mengampunkannya. Justeru, suatu masa lampau pihak gereja menganggap ilmu sains sebagai suatu perkara yang perlu dijauhi.
Akhirnya apabila golongan tidak-percayakan-tuhan (‘free-thinkers’) dan ahli-ahli sains dari barat berjaya mengekang kuasa gereja, mereka membalas dendam dengan mengambil sikap yang bertentangan dan sekaligus mengurangkan pengaruh ugama. Mereka membuat semua perkara yang keterlaluan demi menjayakan usaha mengekang kuasa gereja dan mengurangkan pengaruhnya supaya menjadi kecil dan tidak penting lagi.
Justeru, jika and membincangkan isu agama dan sains dengan seorang orang barat, dia akan terpinga-pinga. Mereka tidak tahu apa itu Islam. Mereka tidak tahu bahawa Islam amat menghormati ilmu dan para cendikiawan; bahawa Islam menganggap para ahli ilmu sebagai saksi bersama-sama dengan malaikat tentang hakikat bahawa tiada tuhan melainkan Allah. Perkara ini dijelaskan oleh Allah subhanahuwata’aala sebagaimana firmannya (surah 3: ayat 18) bermaksud:
“Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menerangkan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
Dan Allah s.w.t Yang Maha Agung dan Maha Suci juga berfirman (surah 47: ayat 19) bermaksud:
“Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman- lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat).”
Al-Quran dengan jelas menyatakan sebab mengapa Adam alaihissalam. itu lebih diutamakan berbanding malaikat-malaikat ialah kerana ilmu yang Allah subhanahuwata ‘ala berikan kepadanya. Kisah-kisah di dalam al-Quran bercanggah dengan kisah-kisah Bible. Umat Islam percaya keaslian Injil telah diubah. Menurut al-Quran, hakikat bahawa Adam alaihissalam diberikan ilmu merupakan satu penghormatan dan bukannya punca baginda ‘alaihissalam dibuang dari Syurga. Justeru, jika kita berbincang tentang Islam dan sains dengan pemikir barat, mereka lebih menjurus untuk berdebat dengan andaian yang sama dengan pandangan agama mereka (Kristian) terhadap ilmu itu. Oleh kerana itu, pemikir barat merasa amat terkejut bila mereka didedahkan dengan fakta-fakta dari al-Quran dan Hadis.
Salah seorang daripada mereka ialah Dr. Joe Leigh Simpson, Pengerusi Jabatan ‘Obstetrics’ dan ‘Gynecology’ (Kajian Janin), dan Profesor di bidang molekul dan Genetik Manusia di Kolej Perubatan Baylor, Houston, Amerika Syarikat. Ketika pertama kali bertemu beliau, Profesor Simpson bertegas untuk mengesahkan ayat-ayat al-Quran dan Hadis. Namun, kami telah berjaya meyakinkan beliau. Kami bentangkan kepadanya ayat-ayat al-Quran yang membincangkan tentang perkembangan janin. Kami buktikan kepadanya bahawa al-Quran menyatakan tentang pembentukan kromosom (‘chromose’) dan daya-pewarisan (‘hereditary’) hanya berlaku setelah benih (dari air mani) bercantum dengan telur wanita (‘ovum’). Sebagaimana yang kita tahu, ‘chromosome’ sememangnya menentukan bentuk fizikal yang akan diwarisi oleh bayi itu nanti seperti warna mata, kulit, rambut, dan sebagainya.
Justeru, banyak keadaan yang akan diwarisi oleh seseorang manusia sudahpun ditetapkan di dalam kromosomnya. Kromosom ini mula terbentuk ketika peringkat awal lagi (peringkat ‘nutfah’) dalam pembentukan janin. Dengan kata lain, bentuk dan keadaan seorang manusia sudahpun ditetapkan ketika peringkat awal lagi- peringkat ‘nutfah’. Allah subhanahuwata’ala Yang Maha Suci dan Maha Agung menyatakan fakta ini di dalam al-Quran (Surah Abasa, 80: ayat 17-19) bermaksud:
“Binasalah hendaknya manusia (yang engkar) itu, betapa besar kekufurannya? (Tidakkah ia memikirkan) dari apakah ia diciptakan oleh Allah?- Dari air mani diciptakanNya, serta dilengkapkan keadaannya dengan persediaan untuk menjadi bertanggungjawab”.
Ketika 40 hari didalam kandungan, semua anggota badan dan organ-organ telah dibentuk secara berperingkat-peringkat. Kita boleh melihat di dalam gambarajah 2.1 bahawa organ-organ mula dibentuk dan diatur, dan janin itu nampak seperti terpusing. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Untuk setiap kamu, bahagian-bahagian tubuh kamu dibentuk di dalam rahim ibu kamu dalam masa 40 hari” (Riwayat Sahih Muslim dan Al-Bukhari).
Di dalam hadis yang lain, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda bermaksud:
“Selepas 42 malam daripada (‘nutfah’-air mani), Allah menghantar malaikatnya yang akan membentukkan telinga, mata, kulit, daging, dan tulang. Kemudian dia akan bertanya, “Ya Allah, adakah ia lelaki atau perempuan?” dan Allah akan menentukan jantinanya sebagaimana yang Dia suka”
(Riwayat Muslim).
Profesor Simpson mengkaji dua Hadis ini dengan tekun dan sememangnya beliau tahu bahawa ketika 40 hari pertama kandungan ialah peringkat janin-genetik yang sudah dapat dicamkan pembentukannya. Beliau amat takjub dengan ketepatan dua hadis ini. Di dalam satu persidangan yang dihadirinya beliau memberikan pendapat ini: Dua Hadis itu telah memberikan satu jadual secara terperinci mengenai perkembangan janin sebelum 40 hari. Sebagaimana yang telah pun disebut oleh penceramah lain, dua hadis ini tidak mungkin disabdakan berdasarkan pengetahuan sains yang ada ketika itu.
Profesor Simpson menyatakan bahawa agama boleh memandu usaha pencarian ilmu. Namun, pihak barat sebagaimana yang kita bincangkan tadi menolak kemungkinan ini. Dan kini sudah ada seorang ahli sains Amerika yang yakin bahawa agama, khasnya yang bernama Islam, boleh mempertemukan agama dan ilmu dengan jayanya. Sebagai perbandingan, bayangkan anda pergi ke sebuah kilang dan anda membawa bersama buku panduan tentang kilang itu. Sudah tentu anda dapat memahami perjalanan kilang itu dengan senang disebabkan anda ada buku panduannya. Tanpanya, ,mungkin sukar untuk anda memahami perjalanan kilang berkenaan.
Profesor Simpson berkata: Justeru, saya berpendapat bukan hanya tiada percanggahan antara fakta genetik dan agama, tetapi lebih dari itu agama boleh memandu sains dengan adanya wahyu-wahyu Tuhan yang boleh menolong dalam pengkajian sains. Memang ada ayat-ayat al-Quran yang terbukti benar oleh penemuan sains. Ini membuktikan ilmu di dalam al-Quran itu datangnya dari Allah.
Itu sememangnya benar. Seharusnya umat Islam memulakan pengkajian ilmu dan mereka berupaya mengangkat ilmu ke tempat yang sepatutnya. Lebih-lebih lagi umat Islam tahu bagaimana menggunakan ilmu untuk membuktikan keujudan Allah Yang Maha Besar dan Maha Suci dan mengesahkan kerasulan Nabi Muhammad sallalahualaihiwasallam.
Allah subhanahuwata’ala berfirman yang bermaksud:
“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan meyaksikan tiap-tiap sesuatu?”
(Surah Fussilat, 41: Ayat 53)
Setelah menyedari melalui contoh-contoh keajaiban sains di dalam al-Quran dan daripada maklumbalas para saintis sendiri, marilah kata tanya beberapa soalan ini:
a) Adakah satu kebetulan sahaja bahawa penemuan terbaru sains di pelbagai bidang itu telah dinyatakan dengan tepat tentangnya di dalam Al-Quran?
b) Mungkinkah al-Quran itu ditulis oleh Nabi Muhammad sallalahu’alaihiwasallam atau oleh suatu yang bukan-manusia?
Hanya ini sahaja jawapan yang munasabah: al-Quran itu adalah perkataan Allah subhanahuwataala yang diwahyukanNya. Al-Quran ialah perkataan-perkataan Allah secara langsung (‘literal’) yang Dia wahyukan kepada nabiNya Muhammad sallalahu’alaihiwasallam melalui malaikat Jibrail alaihissalam. Nabi Muhammad sallalahu’alaihiwasallam menghafal wahyu-wahyu itu. Kemudiannya sahabat-sahabat baginda sallalahu’alaihiwasallam pula menghafal ayat-ayat itu, menulisnya dan mengulang-kaji hafalan mereka dengan Nabi Muhammad sallalahu’alaihiwasallam.
Selain daripada itu, Nabi Muhammad sallalahu’alaihiwasallam mengulang-kaji hafalan al-Quran itu dengan malaikat Jibaril alaihissalam setiap tahun di bulan Ramadan. Di tahun terakhir hidupnya, baginda mengulangkaji hafalan dengan Jibrail sallalahu’alaihiwasallam sebanyak dua kali. Sejak dari hari Al-Quran diwahyukan sehingga ke hari ini, ramai orang-orang Islam yang menghafal kesemua ayat-ayat Al-Quran, perkataan demi perkataan. Sesetengahnya berupaya menghafal al-Quran ketika berumur 10 tahun lagi. Justeru, bukan suatu yang pelik bila ditegaskan bahawa tiada satu pun isi al-Quran yang telah berubah sejak zaman berzaman sehinggalah sekarang.
Al-Quran yang diturunkan 14 kurun yang lalu telah menyatakan dengan tepat fakta-fakta yang baru sahaja ditemui oleh ahli sains. Ini jelas membuktikan Al-Quran itu adalah firman-firman Allah yang diwahyukan olehNya kepada Nabi Muhammad sallalahu’alaihiwasallam Selain dari itu, ia juga membuktikan Nabi Muhammad sallalahu’alaihiwasallam adalah seorang Rasul dan Nabi yang diutuskan Allah subhanahuwata’ala.
Tidak munasabah untuk mengatakan seseorang manusia pada 1400 tahun lalu tahu tentang penemuan sains yang hanya ditemui hari ini dengan pertolongan alat-alat canggih dan kaedah-kaedah yang sukar.
Ramadhan Kunjung Tiba…

Allah swt berfirman ;
Maksudnya :Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa
Allah S/W.T berfirman lagi ;
Maksudnya : (beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil).
Rasulullah s.a.w bersabda mengenai keberkatan beribadah di Bulan Ramadhan yang mulia ini sepertimana berikut ;
“Sesiapa yang mendirikan (malam Ramadhan) dengan solat terawih dan qiyamullail di sepuluh malam akhirnya) dengan keimanan dan berharap ganjaran dari Allah maka keluarlah dia dari dosa seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya”- (hadis)
Ketika ramadhan menjelang, Rasulullah saw bersabda bermaksud ;
“Wahai manusia, menjelang bulan agung lagi berkat. Bulan yang didalamnya ada satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Sesiapa yang mendekatkan dirinya dengan amalan-amalan Fardhu, seolah-olah dia telah mendapat 70 pahala fardhu di bulan-bulan lain. Sesiapa yang mendekatkan dirinya dengan amalan-amalan sunat, seolah-olah dia mendapat pahala amalan fardhu di bulan-bulan lain. Ia adalah bulan sabar. Ia adalah bulan yang awalnya rahmat, tengahnya keampunan dan akhrinya diselamat daripada neraka.”- (Hadis)
Ramadhan semakin tiba
Bulan yang dinantikan oleh mereka yang mahu melipatgandakan ibadah kerana amalan fardhu di dalam bulan tersebut digandakan sebanyak 70 kali ganda. Amalan sunat didalamnya menyamai amalan fardhu di bulan-bulan selain Ramadhan. Oleh itu masyarakat berpusu-pusu ke masjid bersolat tarawih. Semoga amalan dan latihan bersolat jemaah di masjid sepanjang bulan ramadhan diteruskan pada bulan selain Ramdhan setelah tamatnya Ramadhan.Alangkah baiknya jika kita memperuntukkan beberapa hari dan cuti kita tahunan kita untuk hari-hari terakhir Ramadhan agar kita dapat berikhtikaf di siang hari dan jua di malamnya kita memanfaatkan kelebihan pahala ibadah 1000 bulan yakni malam Lailatul Qadar. Pada masa iktikaf juga kita dapat mengenali kenalan iktikaf kita di masjid, berkenalan dengan mereka yang selalu memakmurkan masjid dan menambahkan kenalan kita yang terdiri dari mereka yang soleh dan musleh. Kita dapat mengetahui pelbagai pengalaman dan ilmu yang tidak kita dapati di dalam kerjaya dan jua pembelajaran kita.
Ramadhan Bulan Beramal Jariah
Ramadhan menjadi pilihan ramai untuk menyumbang lebih kerana fadhilat amalan yang telah disebutkan seperti sebelum ini. Samada dengan zakat ataupun derma sunat. Ketahuilah terlalu besar ganjaran memberi makanan kepada orang yang berbuka puasa samada mereka kaya, miskin dan jua fakir. Terlalu banyak tempat dan wasilah untuk kita menderma kerana selain masjid, terdapat banyak agensi yang boleh di percayai untuk beramal jariah. Diperingatkan disini bahawa perlulah mencari agensi yang dipercayai untuk memberi derma seperti NGO dan sebagainya. Carilah rumah-rumah anak yatim dan pusat pemulihan contohnya agar segala usaha kita adalah untuk perkembangan insaniah masyarakat. Juga tidak kita hadkan kepada negara kita sahaja bahkan perlu mengingati kesusahan umat Islam di seluruh dunia contohnya di Palestin, Kashmir, Chechnya, Iraq dan banyak lagi. NGO seperti AmanPalestin, Human Appeal International, Mercy Mission, dan banyak lagi NGO yang lain adalah antara beberapa nama yang terkenal dalam menolong umat Islam di luar sana. Palestin masih memerlukan dana sumbangan lantaran embargo yang ditekankan terhadap mereka kerana tidak mahu tunduk pada penguasaan asing. Kita umat Islam wajib untuk membantu mereka walau apapun yang berlaku dan harus membantu biarpun dengan satu sen ataupun sebutir nasi.
Ramadhan Memupuk Silaturrahim
Pada waktu Ramadhan yang berkah inilah peluang untuk kita menjalinkan silaturrahim dengan umat Islam yang lain. Kita perlu memanfaatkan masa untuk berbuka bersama, bersahur bersama, bertarawih bersama, jua qiamullail bersama. Di Malaysia kita boleh mengajak rakan sekuliah dan rakan sekerja untuk melakukan ini semua. Bagi mereka yang berada di luar negara gunakan kesempatan untuk bergaul dengan Muslim dari serata dunia dan berkenalan dengan mereka. Rapatkan ukhuwwah Islamiah biar ia tidak mengenal tanah dan benua. Keluarkan kita dari kepompong kerja dan pelajaran kita sahaja. Sesungguhnya kita dilahirkan dalam berbagai bangsa untuk saling mengenal.
Maksudnya : “Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.”
Buatlah majlis berbuka puasa bersama-sama kerana Rasulullah saw bersabda;
“Sesiapa yang memberi makan minum kepada orang yang berpuasa, maka baginya adalah pahala puasa orang tersebut tanpa mengurangi pahala orang tersebut “
Maka berebutlah kita untuk menggapai ganjaran tersebut. Ingatan untuk kita semua agar sentiasa mengambil peluang ini. Untuk yang mempunyai kemampuan boleh kita mengadakan majlis berbuka dan menjamu, akan tetapi bagi yang kurang berkemampuan seperti mereka yang bergaji rendah ataupun pelajar universiti dalam dan luar negeri, anda boleh mengambil peluang dengan hanya membawa sedikit kurma untuk orang berbuka puasa. Juga boleh membeli hanya sebotol susu, jus buahan dan minuman kerana ia tidaklah begitu mahal. Pokoknya ialah kita berusaha untuk mendapatkan ganjaran itu.
Ramadhan adalah bulan latihan
Ramadhan melatih kita untuk menahan pancaindera kita dan mendidik nafsu agar tunduk kepada peraturan Allah. Seringkali kita dapati jika kita sering melakukan sesuatu maksiat di bulan lain, maka kita dapat menjauhinya pada bulan Ramadhan. Ini kerana kita hanya berperang dengan nafsu kita sahaja kerana syaitan telah dirantai pada bulan tersebut. Maka kita menguatkan diri kita dengan amalan puasa dan menahan diri dari segala perkara yang dilarang, dan mudah mengalahkan lawan kita yang satu iaitu nafsu kita. Ingatlah, bulan Ramadhan adalah medan yang disediakan oleh Allah untuk kita menguatkan diri kita dari segi ruhani, jasmani dan aqli agar kita menjadi Mukmin yang hebat. Maka itulah dikatakan medan ini sebagai “Madrasah Tarbiyyah Ramadhan”.
Rasulullah saw bersabda;
“Jika seseorang diherdik oleh seseorang yang sedang berpuasa maka hendaklah dia berkata..Aku sedang berpuasa.
“Betapa ramai orang yang berpuasa akan tetapi tidak mendapat apa-apa selain daripada lapar dan dahaga.”
Ramadhan adalah Bulan al-Quran.
Al-Quran diturunkan dari Luh Mahfuz ke langit dunia, Baitul Izzah pada malam Lailatul Qadr pada bulan Ramadhan. Kemudian al-Quran diturunkan secara beransur-ansur di zaman Rasulullah saw bermula pada malam Nuzul Quran, 17 Ramadhan. Setiap tahun Jibril datang menyemak hafazan Rasulullah saw juga dalam bulan Ramadhan. Allah juga mengaitkan Ramahdan dan al-Quran secara jelas dan qat’ie didalam firmannya
(beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil).(2:185)
Sesungguhnya kami Telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan (al-Qadr:1)
Oleh itu suasana Ramadhan adalah suasana al-Quran. Maka hendaklah Ramadhan kita diisi dengan tilawah al-Quran dan hafalan al-Quran. Jangan kita fikirkan tilawah al-Quran perlu untuk kita duduk di masjid, mandi dan bersih segalanya, perlu memakai baju Melayu atau kain sembahyang. Kita hanya perlu berwuduk dan tilawah boleh dimana-mana sahaja samada menunggu bas, menunggu giliran di bank, sewaktu rehat kerja, menunggu waktu berbuka, selepas subuh dan lain lain masa yang mungkin singkat tapi boleh dimanfaatkan. Kita tidak perlu malu untuk berbuat demikian kerana ganjaran Allah adalah lebih layak untuk kita berasa rugi meninggalkannya berbanding pandangan atau ejekan manusia jahil.
Dikebanyakan negara Arab, amalan ini adalah biasa dilakukan. Mereka terutama pemuda mempunyai Quran kecil bersaiz poket untuk kesenangan membawa di mana-mana sahaja. Kaum wanita dan gadis membawa di dalam tas tangan mereka. Ini adalah langkah praktikal kerana kita mampu membeli dan membawa PDA ataupun peralatan perhiasan yang lain tapi tidak Quran kecil yang tidak mahal harganya. Gantikanlah al-Quran selain majalah gossip hiburan dan catalog jualan yang tiada gunanya dan tidak pernah kehabisan.
Ramadhan bulan Menghidupkan Masjid
Memakmurkan masjid di bulan Ramadhan adalah langkah yang berkah dalam usaha menggalakkan masyarakat beribadah dan mendekatkan mereka dengan Islam. Meriahkan masjid dengan solat Tarawih, majlis iktikaf , majlis Qiyamullail. Menyediakan makanan dan jamuan seperti moreh adalah digalakkan untuk membuatkan manusia gembira dan berasa seronok untuk datang beribadah. Sekurang-kurangnya masyarakat meluangkan masa mereka di masjid dari hanya duduk di rumah menonton rancangan televisyen yang hanya mengurangkan penghayatan Ramadhan.
Bagi mereka yang berada jauh dari rumah dan berada di perantauan, maka gunalah peluang bersama rakan-rakan untuk menghidupkan rumah atau masjid berdekatan dengan suasana Ramadhan yang berkah. Aturkan program memasak bersama, bangun sahur bersama, jua latihan qiyam bersama. Jalinan ukhuwwah sesama Muslim akan lebih bermakna pada waktu ini.
Bulan ini juga perlu dimanfaatkan secara optimum bagi para pendakwah kerana manusia lebih dekat dengan fitrahnya pada masa Ramadhan. Syaitan yang selalu menyesatkan manusia dan ingin manusia melalui jalan yang bengkok telahpun dirantai. Manusia begini adalah mudah untuk diajak dan didekatkan dengan Islam, dan mereka tidak akan mempunyai banyak alasan untuk menjauhkan diri dengan ibadah. Maka jinakkanlah hati mereka dengan cara-cara berhikmah dan mudah agar mereka dengan Islam.
Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Moga artikel yang sedikit ini memberikan manfaat kepada semua. Moga kita digolongkan dalam golongan yang mendapat keselamatan dari azab Neraka dan dikurniakan Syurga Firdaus bersama para Rasul, Nabi, syuhada dan siddiqin. Moga Allah membimbing kita untuk menjadi Mukmin yang lebih hebat setelah keluar dari Madrasah Tarbiyyah Ramadhan.
Mahasiswa Tak Puas Hati apa lagi???
“Pindaan AUKU tanpa sedikitpun perbincangan dengan wakil mahasiswa jelas menunjukkan ia mempunyai motif politik yang tertentu. Pindaan AUKU masih tidak menyelesaikan masalah pokok yang dihadapi oleh mahasiswa seperti pencabulan hak asasi, pembunuhan potensi dan kredibiliti serta kebejatan moral dan etika murni mahasiswa. Pindaan ini membesarkan lagi kuasa sang Menteri dan Naib Canselor dalam banyak urusan. Mahasiswa terus dinafikan dari terlibat langsung dengan aktiviti-aktiviti luar kampus. Mahasiswa masih tidak dibenarkan terlibat dengan politik walaupun menyatakan simpati, sokongan atau bantahan. Mahasiswa terus dinafikan hak untuk mendapatkan pengadilan yang adil. Justeru mahasiswa menggesa agar pindaan AUKU yang diusulkan oleh KPT ditolak mentah-mentah oleh kesemua ahli Parlimen yang cintakan rakyat, negara dan mahasiswa yang merdeka. ” -Hafizudin Abirerah, Pengerusi SMM merangkap Ahli Majlis Tertinggi GAMIS .
Demikian antara kandungan memorandum pemansuhan AUKU 1971 (Pindaan 1975). Memorandum ini telah dipersetujui bersama oleh :
1. Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA)
2. Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)
3. Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
4. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
5. Kelab Rakan Islah Malaysia (KARISMA)
6. DEMA
7. Gerakan Bertindak Mahasiswa Utara (GBMU)
8. Gerakan Mahasiswa Anti-Korupsi (GERAK Mahasiswa)
9. Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)
10. Parti Sosialis Malaysia (PSM)
11. Parti Mahasiswa Negara (PMN)
12. Fraksi Pro-Mahasiswa Nasional (PMN)
13. Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN)

Simbolik minda mahasiswa ‘dipenjara’ AUKU

Memorandum bersama front-front mahasiswa

Intelektualisme dan aktivisme mahasiswa ‘mati’ di bawah AUKU

MT GAMIS merangkap Pengerusi SMM, Hafizudin menjawab soalan media

Polis memantau demontrasi GMMA, di mana polis ketika UiTM berdemo ?

3 biji kereta polis dihantar untuk mengganggu mobilasi mahasiswa

Simbolik pembebasan minda mahasiswa selepas penjajah AUKU dimansuhkan

Timb. Presiden GAMIS, Ridhuan Osman bersama pimpinan DEMA.

AUKU telah ‘membaringkan’ mahasiswa sehingga lama terlena

AUKU ‘mematikan’ intelektualisme dan aktivisme mahasiswa

Pimpinan GMMA berunding untuk bertemu Timb Menteri Pengajian Tinggi
Mahasiswa Berdemonstrasi!!!
KUALA LUMPUR 18 Ogos – Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA) hari ini berjaya menghimpunkan kira-kira 500 mahasiswa untuk berdemonstrasi di hadapan bangunan Parlimen yang bermula jam 8.30 pagi tadi. Walaupun beberapa pegawai HEP dari IPT -IPT tertentu turut hadir untuk ‘mengambil gambar’ dan ‘menghantar laporan’ kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar masing-masing, namun ianya tidak sesekali mematahkan semangat mereka yang hadir.
Menurut jurucakap GMMA, saudara Ahmad Shahir Abdul Aziz komitmen yang ditunjukkan oleh mahasiswa dari setiap kampus adalah memberangsangkan dalam menjayakan perhimpunan berkenaan.
”Kita optimis dengan kehadiran begitu ramai mahasiswa dalam perhimpunan ini berkeupayaan memberikan kesan yang besar dalam perbahasan rang undang-undang Pindaan AUKU di Parlimen nanti”. katanya
Perhimpunan tersebut yang dipengerusikan oleh saudara Syazni Munir turut menampilkan ucapan pemimpin-pemimpin mahasiswa dari front-front yang lain.
Perhimpunan tersebut juga menyaksikan lima pemimpin mahasiswa dibenarkan masuk ke Dewan Rakyat untuk berbincang secara langsung dengan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Harun berkenaan bantahan draf pindaan AUKU yang hanya bersifat kosmetik semata-mata.
Kelima-lima pemimpin berkenaan ialah wakil GMMA, saudara Ridzuan Mohamad, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, saudara Haafizudin Abirerah, , wakil Persatuan Mahasiswa Undang-undang UIAM, saudara Faridzul M. Nasaruddin, Exco Pendidikan & Penyelidikan PKPIM, saudara Muhammad Faisal Abdul Aziz, dan Zawani Rosle.
Sementara itu, menurut wakil GMMA, saudara Ridzuan Mohammad mereka berpuas hati walaupun tujuan perhimpunan itu diadakan ialah untuk menemui sendiri Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin bagi menyerahkan Memorandum Pemansuhan AUKU 1971 (Pindaan 1975) dan Bantahan Pindaan AUKU 1971 (Pindaan 1975).
“Ok la walaupun tak 100 peratus berjaya. Matlamat kami hari ini ingin berjumpa dengan menteri atau timbalan menteri. Kami berterima kasih kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Harun kerana sudi menemui kami walaupun dalam tempoh yang singkat,” katanya kepada media di lobi Parlimen.
Tambah beliau, pihaknya tidak akan menerima sebarang tawaran bagi menyerahkan memorandum tersebut kepada mana-mana wakil kementerian kerana khuatir ia tidak disampaikan kepada menteri.
“Pendirian kami jelas dan kami tidak akan berganjak dengan pendirian untuk menyuarakan rasa tidak puas hati kami kepada menteri atau timbalan menteri walaupun dalam keadaan hujan,” ujarnya.
“Kami berharap supaya ahli Parlimen sama ada dalam Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat supaya membahaskan perkara ini dengan serius untuk kepentingan generasi masa depan serta menggantikan dengan akta yang lebih relevan”.
“Selain itu biarlah dengan perbahasan tersebut mampu menghasilkan kesimpulan yang lebih positif kepada semua mahasiswa,” tambah beliau lagi.
Kekecohan berlaku seketika apabila ‘mayat’ yang dibawa oleh mahasiswa dirampas oleh pihak polis. ‘Mayat’ yang dikafankan dengan kain putih sebagai simbolik mahasiswa yang dikongkong AUKU tersebut dirampas selepas perhimpunan bersurai.
Tuan Guru Nik Aziz tegaskan sumpah Saiful cara Kristian
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat menafikan laporan yang dipaparkan dalam akhbar arus perdana hari ini, bahawa Saiful Bukhari Azlan bersumpah dengan cara Islam.
Dalam sidang media sempena Muktamar PAS di Stadium Indera Mulia dekat sini, Ustaz Nik Aziz menegaskan, sumpah menggunakan al-Quran bercanggah dengan Islam.
Katanya, apa yang dibuat Saiful dua hari lepas, menyamai apa yang dilakukan oleh orang-orang Kristian yang bersumpah menggunakan Bible.
Tegasnya, Islam hanya menerima sumpah dengan menyebut Wallahi, Wabillahi, Watallahi.
Menteri Besar Kelantan itu juga menempelak Umno yang mempercayai bersumpah dengan cara menggunakan al-Quran.
Katanya, sumpah juga tidak perlu dibuat dalam masjid kerana ianya sama seperti ajaran Kristian yang bersumpah di gereja.
Katanya, orang Islam tidak perlu bersumpah di masjid, sebaliknya boleh bersumpah di mana-mana sahaja asalkan ianya sumpah yang menepati Islam.
Beliau juga hairan mengapa Umno menerima sumpah Saiful dan terikut-ikut dengan amalan agama yang bercanggah dengan Islam.
Ustaz Nik Aziz juga mempertikaikan motif sebenar Saiful bersumpah menjelang hari penamaan calon Permatang Pauh, yang katanya mempunyai maksud yang tersirat.
Beliau amat berharap pengundi-pengundi Melayu yang beragama Islam tidak terpengaruh dengan propaganda media yang memanipulasi sumpah Saiful.
“Saya berdoa dan berharap Dato’ Seri Anwar diberikan kemenangan,” ujarnya.
































Recent Comments