Archive

Archive for July, 2008

PAS tolak kerjasama dengan BN bentuk kerajaan – Presiden PAS

PAS menolak mengadakan sebarang rundingan dengan Barisan Nasional (BN) bagi mewujudkan kerajaan sama ada di peringkat pusat atau negeri.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata sebarang tawaran untuk mewujudkan kerjasama politik tidak lagi berbangkit.

“PAS akan terus terbuka untuk mengadakan sebarang perbincangan dengan parti-parti politik, badan bukan kerajaan, institusi ataupun mana-mana individu demi kepentingan agama dan rakyat,” ujarnya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

PAS mengulangi pendiriannya untuk terus kekal bersama pakatan Rakyat dan akan memainkan peranan aktif dan positif termasuk perjuangan bersama untuk membuat perubahan.

“Kita mengajak ahli-ahli parlimen BN untuk menyertai Pakatan Rakyat untuk sama-sama sokong dan dokong perubahan yang hendak dilaksanakan,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil oleh parti tersebut terhadap mana-mana pimpinan yang mengadakan pertemuan sulit dengan BN, katanya, “tiada yang sulit lagi, kita mengatakan boleh mengadakan pertemuan dengan syarat ia dimaklumkan kepada parti.”

PAS juga katanya menghargai sokongan bukan Islam dan mereka akan diberikan peranan lebih pada masa akan datang dalam arena politik bersama PAS.

Dalam pada itu, Ustaz Abdul Hadi turut menyatakan bahawa pihaknya turut menyatakan sokongan dalam isu Penasihat KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Isu tersebut hendaklah diselesaikan mengikut syariat Islam, berdasarkan perlembagaan 121 yakni kes yang berkaitan dengan agama Islam hendaklah dirujuk kepada Mahkamah Syariah.

“Saya tidak mahu isu ini dipolitikkan. Kalau sekiranya ia tidak boleh (dirujuk kepada mahkamah syariah) Umno kena buat perubahan.

“Ya, saya membela siapa yang kena zalim termasuk Dato’ Seri Anwar,” ujarnya.

Sidang media tersebut diadakan sebaik selesai Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS yang dibuat secara bulanan, dengan turut dihadiri Majlis Syura Ulama’ yang dipengerusikan Ustaz Abdul Hadi.

Turut serta dalam mesyuarat tersebut ialah Musyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, kata Setiausaha Agung PAS, Dato’ Kamarudin Jaffar dalam sidang media tersebut.

Categories: Politik

Keputusan terbaik untuk negara – Wan Azizah

dsc_2158.jpg

KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA

Selepas berbincang dengan keluarga saya, kepimpinan Parti Keadilan Rakyat dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, saya dengan ini secara rasminya meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh kepada YB Tan Sri Speaker Dewan Rakyat Datuk Pandikar Amin Bin Hj. Mulia hari ini, memberi laluan kepada suami saya untuk bertanding sebagai calon Pakatan Rakyat dalam pilihan -raya kecil secepat mungkin.

Ini adalah konsisten dengan matlamat kami untuk mendapat majoriti bagi membentuk kerajaan baru dalam tahun ini.

Keputusan ini adalah yang terbaik buat Malaysia.

Negara ini sedang berhadapan dengan cabaran yang paling getir semenjak mencapai kemerdekaan. Kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin oleh UMNO terbukti telah gagal mengurus ekonomi negara ini dan membawa negara ini menuju kehancuran. Kerajaan ini telah menyebabkan integriti sistem keadilan hancur ke tahap yang memalukan. Ia membiarkan api perkauman semakin bernyala -nyala dan membuatkan etnik Melayu, Cina dan India saling tidak mempercayai satu sama lain di samping sengaja mengabaikan keperluan masyarakat pribumi di Sabah dan Sarawak.

Anwar Ibrahim telah mengungkapkan visi untuk Malaysia yang telah pun membenihkan harapan buat rakyat. Beliau mempunyai pengalaman dan kebijaksanaan untuk membangunkan kembali ekonomi negara ini, juga karisma dan integriti untuk menyatukan rakyat Malaysia serta mengembalikan kewibawaan institusi-institusi kenegaraan. Saya akan terus berkhidmat sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat dan pengerusi Yayasan Aman.

Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada penyokong saya di Permatang Pauh yang selama ini sentiasa teguh di belakang saya di dalam melalui saat-saat sukar semenjak dari September 1998 dan saat-saat manis kemenangan 8 Mac 2008. Masa depan negara kita bergantung kepada dedikasi dan komitmen terhadap keadilan dan kebebasan yang saya lalui
selaku wakil anda semua di Parlimen dan saya akan sentiasa berkhidmat untuk anda pada masa depan seikhlas mungkin.

DATO’ SERI WAN AZIZAH WAN ISMAIL

Categories: Politik

Bandar atas air

Zhouzhuang antara empat bandar purba yang punyai sejarah lebih 1,700 tahun

TERLETAK di pinggir bandar raya Shanghai, Zhouzhuang adalah bandar atas air purba yang amat terkenal di seluruh China, dengan nilai sejarah lebih 1,700 tahun.

Meliputi kawasan seluas 47 kilometer (km) persegi, kampung kecil berbentuk seperti kipas kecil, berkerlipan umpama sebiji mutiara cerah dalam tasik dan pergunungan.

Turut dikenali dengan satu gelaran lain – ‘Pearl Stream’ (anak sungai mutiara) – bandar kecil itu adalah satu daripada empat bandar purba di Shanghai yang dipulihara dengan baik.

Jambatan lama unik menyeberangi anak sungai, dilindungi pohon willow dan deretan rumah yang berserambi, memikat pengunjung dan warga tempatan yang selama ini hidup di tengah kesibukan dan hiruk pikuk bandar moden kepada dunia baru penuh nilai antik, santai dan ketenangan.

Tidak hairanlah jika melawat Zhouzhuang tanpa menikmati keunikan jambatan bermakna anda belum benar-benar pernah berada di situ.

Jambatan di bandar itu begitu kaya dengan nilai tersendiri dan purba, dibina ketika Dinasti Ming dan Qing.

Bandar lama itu dihubungkan dengan 36 jambatan dalam pelbagai bentuk dan corak, diperbuat sama ada menggunakan kayu, batu mahupun mamar.

Jambatan Fangsheng atau turut dikenali sebagai Jambatan Kebebasan adalah jambatan batu terpanjang, terbesar dan tertinggi dengan lima terowong, memberi kesempatan kepada pengunjung untuk menikmati pemandangan keseluruhan bandar Zhouzhuang.

Jambatan itu dibina pada 1571. Di atas jambatan itu terdapat batu peringatan diberi nama Batu Pintu Naga, yang diukir dengan lapan naga mengelilingi sebutir mutiara. Ada empat ukiran batu berbentuk naga juga terdapat di atas jambatan berkenaan.

Jambatan Fangsheng, jambatan terpanjang di Zhouzhuang.

Jambatan Lang (Jambatan Serambi) juga dikenali sebagai Jambatan Huimin, adalah jambatan kayu tunggal dan muncul jambatan paling terkenal di bandar itu.

Jambatan Lang mempunyai palang kayu di kedua-dua belah sisi dan cucur atap terbalik di atasnya, sama seperti koridor yang sempit.

Lorong utama atau Lorong Utara di bandar itu yang begitu purba, dipenuhi bangunan lama ketika Dinasti Ming dan Qing, memang memikat pengunjung tempatan mahupun asing.

Memang Lorong Utara yang cuma sepanjang satu kilometer itu, adalah lorong purba terbaik yang dipulihara di kawasan subbandar Shanghai.

Pemandangan yang begitu purba sepanjang penjelajahan di bandar terapung itu sambil menghargai bangunan sejarah, deretan kedai dan jambatan lama serta lorong sempit pasti menyuntik kegembiraan.

Zhouzhuang juga terkenal dengan taman cantik dan luas yang menyerikan bangunan lama yang dibina ketika Dinasti Ming dan Qing.

Di antara seni bina purba terkenal seperti Ke Zhi Yuan iaitu taman manor terbesar di bandar itu. Taman itu biasa dipanggil ‘Taman Keluarga Ma’ sempena nama bekas pemiliknya, Ma Wenqin.

Terletak di Lorong Xijin Street, utara bandar berkenaan, Ke Zhi Yuan menampilkan pemandangan indah dan senyap serta persekitaran yang nyaman. Ia mengandungi tiga bahagian iaitu kawasan dewan, bukit tiruan dan taman.

Kawasan bukit tiruan pula, terdapat seni binaan simbolik menarik iaitu bangunan lima tingkat segi empat, di puncaknya terdapat astaka yang diberi nama “Moon Viet Pavillion”. Bangunan ini dianggap binaan tertinggi di situ.

Segala pemandangan yang dijelaskan hanyalah sebahagian daripada tarikan yang ada di Zhouzhuang.

Categories: Sejarah

“Tahniah Atas Perlantikan Anda”

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Pembuka Kata….

Malam ini, 30 Julai 2008, malam pengisytiharaan Jawatankuasa Induk Kolej (JIK), Jawatankuasa Tindakan Kolej (JTK) dan juga Jawatankuasa Perkembangan Pelajar (JKP). Ape yang menarik minat saya untuk mengulas tentang Perlantikan ini adalah, buat pertama kali dalam sejarah Kolej kediaman Tun Ahmad Zaidi, Universiti Malaya, Presiden Kolej yang dilantik adalah daripada kalangan Mahasiswi Akademi Pengajian Islam.

Saya kira tidak perlulah disebutkan nama siapa orang yang bertuah itu tetapi yang menjadi persoalan ialah Mampukah Presiden ini yang ‘berstatus Akademi Pengajian Islam’ mampu menggarap suatu perubahan yang besar di dalam kolej ini dalam konteks Suasana Islam atau sebarang program berbentuk pembikinan sahsiah dan akhlak???

Saudara dan Saudari..

Ape yang ingin saya utarakan ini hanyalah sekadar pandangan atau pemikiran daripada konteks peribadi saya sahaja tanpa sebarang unsur negatif. Pembaca juga perlulah berfikiran positif dalam menerima atau menilai tulisan saya ini. Kita sebagai manusia adakalanya melakukan kesalahan dan kesilapan yang sudah barangtentu kita tidak menyedari..jadi, apalah salahnya jika ditegur dan melakukan penambahbaikan di masa-masa akan datang… Tidak salah kan??? Saya suka memerhatikan gelagat pemimpin-pemimpin pada masa sekarang ini.. Kita jika dipilih sebagai pemimpin hendaklah melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin dan yang paling penting ialah meletakkan Islam itu di hadapan bukannya Islam yang menurut kemahuan kita..

Suka saya mengimbau semasa zaman pemerintahan Arie Sakinah, ada kelainan sedikit dalam bentuk pentadbirannya. Biarlah ramai yang mengkritik tetapi yang baik kita jadikan pedoman dan kurang baik jadikan sempadan yang jauh.. Suka saya mengambil contoh yang paling hampir ialah Program MITAZ pada zaman Cik Arie Sakinah ini, di sana terdapat juga program-program yang boleh saya istilahkan sebagai program duniawi termasuklah sukaneka, gotong-royong, tresure hunt dll.. Tetapi, apa yang membanggakan saya, mereka ada juga inisiatif untuk melaksanakan Program yang berbentuk Islamic walaupun sedikit seperti Solat Maghrib Berjemaah dan disusuli pula dengan Kuliah Maghrib. Nampak sedikit sahaja pengisiannya tetapi hakikatnya ‘wujud’ la juga program ini walaupun di sana terdapat perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku..Tidak perlulah saya nyatakan secara detail di sini..

MITAZ 2008 tahun ini amat menarik, banyak ‘perubahan’ yang dilakukan tetapi peranan kita sebagai khalifah Allah janganlah dilupakan sama sekali.. Bergembiralah..Berseronoklah..Tetapi biarlah keseronokkan kita di siang hari menjadi keinsafan pula di malam hari.. Janganlah kita alpa dan tidak peka dengan tanggungjawab kita sebagai khalifah yang menjaga agama di dunia ini. Bukan silap siapa tetapi hanya kesilapan diri kita semua kerana tidak ada yang memberi teguran dan pandangan yang bernas dalam konteks perancangan Islam.. Tetapi, Alhamdulillah bilamana diminta untuk melaksanakan program beridentitikan Islam, mereka menyambut dengan baik..Inilah yang saya mahu dan harap-harapkan..

Begitu juga dengan Malam Kesenian Islam yang saya kira berjaya dilaksanakan dengan cemerlang, gemilang dan terbilang. Saya juga amat terkejut bila melihat kaum-kaum lain berpakaian sopan dengan perempuan cina dan india memakai baju kurung.. Tertutup litup bagaikan Puteri Melayu..:)

Apa yang penting yang ingin saya tekankan di sini ialah komitmen Barisan Kepimpinan yang baru untuk mengimbangkan antara program duniawi dengan program ibadah atau ukhrawi.. Ambillah pengajaran dan kebaikan pada kepimpinan yang lepas untuk memantapkan lagi organisasi pentadbiran.. Tetapi, jangan pula menafikan hak kaum-kaum lain untuk menjalankan aktiviti kebudayaan mereka.

Jadi, sekali lagi saya mengucapkan TAHNIAH dan SYABAS di atas Perlantikan Barisan Kepimpinan baru.. Semoga Islam Didaulatkan di Bumi Tun Ahmad Zaidi ini dan program-program berunsurkan pembinaan akademik, sahsiah dan kesihatan diambil kira sewajarnya..Terima Kasih

Categories: Mahasiswa

Pensyarah syor wujud kursus wajib mengenai laporan berita berhubung Islam dan agama di IPT

Subjek “Melaporkan Berita Mengenai Islam atau Agama” perlu dibangunkan sebagai satu kursus wajib di institusi-institusi pengajian tinggi (IPT), ekoran timbulnya pelbagai salah tanggapan media barat mengenai Islam ketika ini.

Pensyarah Universiti Teknologi Petronas, Prof Dr Ahmad Murad Merican mengetengahkan idea itu bersama dengan cadangan supaya ditubuhkan sebuah pusat yang melaksanakan usaha konkrit untuk mengkaji laporan-laporan berita berhubung Islam dan agama.

Beliau berkata kaedah laporan berita ketika ini, dengan merujuk kepada Islam dan lain-lain agama, terlampau kebaratan, kerana kewujudan media kontemporari sudah berakar umbi sejak zaman Revolusi Industri.

“Laporan-laporan berita dan media bermula sejak Revolusi Industri. Revolusi itu memberi penekanan kepada perkara-perkara berkaitan materialistik semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk

“Orientalism, the reportage of religion and journalism education: Expanding the space in the dialogue of civilisations” di sini.

Ahmad Murad berkata nilai yang dijunjung wartawan hari ini mencerminkan kehendak untuk menjual berita, dan berita itu dilihat perlu memiliki unsur-unsur konflik untuk menjadikan ia menarik.

“Dalam lain perkataan nilainya bersifat terlalu kapitalis. Agama sebaliknya memiliki nilai yang berlawanan, mengatasi segalanya, dan aman, bukannya konflik.

Wartawan perlu belajar bagaimana cara melaporkan berita berhubung agama dan Islam dari sudut pendangan Islam atau nilai agama,” tambahnya.

Dalam ucapannya pada hari kedua dan terakhir persidangan antarabangsa ’The Representation of Islam and Muslims in the Media’ di sini beliau berkata sehingga ini belum ada sebuah universiti pun yang mengetengahkan subjek berkenaan dalam pengajian-pengajian yang ditawarkan.

“Bertahun-tahun lamanya belum ada satupun universiti di dunia memiliki kursus mengenai ’Reportage of Islam or Religion’, namun masalah ini masih dihadapi umat Islam ketika ini. Seingat saya ada sebuah universiti di India mempunyai kursus ini pada tahun 1950, tapi saya tidak tahu apa yang terjadi kepadanya kini,” katanya.

Categories: Mahasiswa

Anwar akan didakwa!!!


Datuk Seri Anwar Ibrahim

Kertas siasatan sudah diserah kepada Peguam Cara Negara

Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan didakwa di mahkamah tidak lama lagi atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Difahamkan kertas siasatan sudah diserahkan kepada Peguam Cara Negara, Datuk Idrus Harun dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dijangka akan ditahan beberapa hari lagi.

Menurut sumber, Idrus akan mengetuai pendakwaan dan memutuskan sama ada Anwar akan didakwa kerana Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sedang disiasat berikutan dakwaan memalsukan bukti kes Anwar dipukul ketika ditahan pada 1998.

Difahamkan satu mesyuarat peringkat tertinggi diadakan di Putrajaya malam tadi untuk mengemaskinikan siasatan kes liwat itu.

Setiap langkah dan proses siasatan kes berkenaan dikatakan dirakam menggunakan video untuk membuktikan siasatan dilakukan mengikut undang-undang.

Perkembangan terbaru ini adalah lanjutan daripada laporan portal berita Malaysia Today kelmarin yang mendakwa laporan perubatan di Hospital Pusrawi Sdn Bhd yang dibuat oleh Dr Mohamed Osman Abdul Hamid mendapati Mohd Saiful tidak diliwat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata polis tidak akan terpengaruh dengan tindakan pihak tertentu yang cuba menggagalkan siasatan terhadap Anwar dan mengulangi laporan portal berita itu yang menyatakan tiada kesan liwat, tidak berasas.

Malah, katanya, polis tidak menahan doktor terbabit atau memaksanya memalsukan bukti terhadap suspek seperti dilaporkan Malaysia Today bertajuk ‘Doctor on the run: Police want him to fabricate evidence against Anwar’.

Pihak berkuasa perubatan pula menegaskan, pihaknya berpegang kepada hasil pemeriksaan terhadap Mohd Saiful di Hospital Kuala Lumpur pada 28 Jun lalu walaupun laporan perubatan ke atasnya di Hospital Pusrawi sebelum itu dilaporkan bocor.

Berikutan pendedahan laporan itu, Anwar dalam sidang akhbarnya semalam, meminta polis menghentikan segera siasatan dakwaan liwat terhadapnya.

Dalam pada itu, pengurusan Pusrawi menubuhkan jawatankuasa khas siasatan dalaman bagi menyiasat kesahihan laporan perubatan sulit, yang didakwa bocor itu.

Ismail, dalam satu kenyataan petang semalam, menegaskan polis menjalankan siasatan kes itu dengan profesional dan tidak akan menjawab semua tuduhan dilemparkan kepada pasukan itu kerana siasatan masih berjalan.

“Polis dalam apa cara sekalipun tidak akan terpengaruh atau diugut mana-mana pihak yang mahu menggagalkan penyiasatan kes ini,” katanya.

Laporan perubatan di Hospital Pusrawi yang didakwa dibuat oleh Dr Mohamed Osman itu, dikatakan mendapati Mohd Saiful tidak diliwat, tetapi polis kononnya memaksa beliau menukar laporan pemeriksaan bagi mengaitkan Anwar dalam kes itu.

Ismail berkata, laporan berkenaan tidak berasas kerana polis tidak menahan doktor terbabit atau memaksanya memalsukan bukti terhadap suspek.

“Laporan itu hanya berasaskan cakap dengar, bersifat spekulasi dan satu tuduhan tidak adil. Laporan itu berniat hanya untuk memesongkan persepsi pihak awam dan menjatuhkan polis. Polis menjalankan siasatan secara profesional dan pantas, bukan sebaliknya kerana kes ini menarik kepentingan awam.

“Polis sedar bahawa kes ini perlu dikendalikan secara adil serta saksama supaya pihak awam mempunyai keyakinan terhadap cara kita mengendalikannya. Jadi kita meminta orang ramai tidak terus membuat kesimpulan tanpa mengesahkan kebenaran sesuatu dakwaan,” katanya.

Ismail berkata, polis akan menyerahkan kertas siasatan serta mengemukakan bukti diperoleh sepanjang siasatan kepada Jabatan Peguam Negara.

“Keputusan sama ada mahu mendakwa suspek berada sepenuhnya dalam tangan pihak Pejabat Peguam Negara,” katanya.

Categories: Isu Semasa

Tuduhan liwat-Anwar…Ape sebenarnya???

Ketua Umum KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yakin tuduhan liwat ke atasnya sudah berakhir dengan pendedahan laporan doktor Pusrawi yang membuktikan tiada kesan liwat ke atas Saiful Bukhari Azlan.

Beliau berkata, pendedahan laporan doktor Pusrawi yang disebar meluas menerusi portal berita semalam membuktikan dakwaan meliwat terbaru terhadapnya hanya bermotifkan politik dan tidak berasas sama sekali.

Anwar dalam sidang media di ibu pejabat KeADILan berkata, beliau sekali lagi dimomokkan bahawa siasatan polis dilakukan dengan profesional kerana melengahkan penyiasatan dan cuba untuk menutup bahan bukti yang paling penting iaitu maklumagt dari doktor pertama yang ditemui oleh Saiful.

Anwar juga enggan memberi DNA kepada polis atas nasihat dan rujukan daripada Presiden Maljlis Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan yang menegaskan kewibawaan sistem kehakiman terus digugat begitu juga golongan profesional iaitu doktor dan peguam.

Image“Ini ada kaitan juga dengan keterangan yang saya kemukakan kepada polis yang mengaitkan penglibatan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Ketua Peguam Negara Ghani Patail dalam percubaan memadamkan maklumat sejak tahun 1998 dan 1999,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar juga meminta pihak berkuasa supaya menjaga keselamatan doktor yang menjalankan pemeriksaan ke atas Saiful terjamin agar mereka tidak terdedah dengan apa-apa bahaya atau dihilangkan sepetimana yang dihebohkan sebelum ini.

Anwar juga berkata, beliau tidak pernah menemui doktor berkenaan dan Pusrawi juga mengesahkan laporan yang disiarkan portal berita semalam sebagai tulen dan benar.

Anwar yakin dengan kandungan laporan perubatan pertama dan pasti tiada siapa yang akan mempertikaikannya.

Image“Saya rasa ini sudah berakhir kerana saya ada urusan yang lebih penting untuk bersama rakyat terutama dalam pilihan raya kecil Parlimen Kulim-Bandar Baru, saya akan tumpukan kepada bahagian agenda pertumbuhan ekonomi dan pembelaan nasib rakyat,” katanya.

Kini, Anwar akan menumpukan kepada masalah negara dan menggesa kerajaan supaya meninggalkan cara yang tidak profesional iaitu dendam dan politik kotor demi menghukum musuh politik.

Turut sama dalam sidang media, Peguam Sulaiman Abdullah iaitu peguam kanan yang akan memimpin pasukan peguambela seandainya kes ini diteruskan.

Beberapa pimpinan dari PAS turut serta iaitu Setiausaha Agung, Dato’ Kamarudin Jaffar; Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli; Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmood dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’Lo’ Ghazali.

ImageDalam sidang media itu, KeADILan turut mengedarkan laporan pemeriksaan Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mendakwa diliwat Anwar Ibrahim, yang menunjukkan tiada kesan pemuda itu diliwat.

Laporan sulit dua halaman daripada Hospital Pusrawi itu turut disertakan maklumat-maklumat tambahan yang menjelaskan beberapa istilah perubatan yang sukar difahami dan beberapa perkataan doktor itu yang tidak jelas.

Laporan yang disahkan milik hospital swasta di Jalan Tun Razak itu mula beredar di internet sejak semalam.

Pada 28 Jun lepas, Mohd Saiful membuat laporan polis mendakwa dirinya diliwat bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Categories: Isu Semasa, Politik